teman-teman

Saturday 19 May 2012

Saya Rindu Awak 4


LEPAS siap-siap, Adibah terus pergi dapur. Mahu sediakan sarapan. Sampai meja makan, Adibah nampak ada 3 bungkus nasi lemak sudah tersusun cantik dalam pinggan. 6 ketul karipap, 3 daripadanya karipap pusing serta 3 ketul bingka ubi juga tersusun cantik dalam pinggan. Paling mengejutkan bukan Hajah Bie yang kacau air, tetapi cucu Hajah Bie. Pelik ni.
“Selamat pagi.” Khairil senyum bila melihat Adibah tercegat tanpa bercakap. Gaya muka sah tak pernah tengok orang lelaki bancuh air. Nak saja Khairil bantai gelak tapi dia tahan.
“Selamat pagi. Nenek mana?” Adibah cuba sorok perasaan terperanjatnya dengan bertanyakan Hajah Bie, tapi dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang dipandang. Setahu Adibah, ayah jangan kata nak bancuh air, nak susun cawan pun jarang sekali. Semua main arah dan tunjuk.
“Siram bunga. Nenek suruh kita sarapan dulu.”
            “Tak apalah kalau macam tu. Dib tunggu nenek sarapan sama.”
            “Habis siapa nak temankan abang sarapan?”
            “Makanlah sorang-sorang. Tak kan nak berteman bagai.” Ah! Minta berteman pulak. Macam tak biasa makan sorang-sorang. Melampau betul.
            “Okeylah, kalau macam tu abang tunggu nenek jugaklah.” Nada seperti merajuk. Siapalah yang sudi temankan dia sarapan. Rupa paras sudahlah kurang, inikan pula harta. Jauh api dari panggang. Dan dan rasa nak merajuk.
            “Suka hati abanglah!” Adibah jalan sampai pintu. Malas nak layan Kharil. Pagi-pagi buat drama sebabak pulak. Kemudian dia terus keluar dan kelihatan Hajah Bie sedang gunting pokok bunga kertas. Adibah duduk di kerusi kayu sambil perhatikan Hajah Bie buat kerja.
            “Dah sarapan?” Hajah Bie menyoal tanpa pandang wajah Adibah.
            “Belum, tunggu nenek.” Belum sempat Adibah jawab, Khairil terlebih dahulu bercakap. Terus Adibah pandang muka Khairil. Nampak muka lapar saja dan selebihnya muka  merajuk.
            “Pergilah sarapan dulu.”
            “Tak apa, Dib tunggu nenek.”
            “Karang nenek gunting dua-dua baru tau. Pergi sarapan sekarang!” Separuh terjerit Hajah Bie. Bergegas Adibah bangun dan terus masuk. Huh! Garangnya.
            “Hmm, tau takut pulak.” Sindir Khairil masa mereka sama-sama berjalan menuju meja makan. Tadi beriya nak tunggu Hajah Bie. Sekali kena sergah terus jalan. Tahu takut!
            Adibah ke meja makan. Muka macam cengcorot. Masam sampai tiga batu. Tapi serius, dia masam tambah cun. Tambah comel. Tak berhenti Khairil pandang. Aduh, tiba-tiba kira duit. Cukup ke? Kurang-kurang lima belas ribu  mesti ada. Tu baru belanja kasar. Belanja halus masih belum tersenarai. Aduhai..
            Mula-mula Adibah ambil karipap pusing, walau bungkusan nasi lemak sudah terlebih dahulu dibuka. Ada lauk sambal udang. “Semua udang ke?” Mata pandang Khairil di hadapan.
            “Hmm…” Khairil tuang air dan letak cawan depan Adibah. Karipap pusing tadi tinggal separuh. Separuh lagi sudah masuk perut Adibah. Habis karipap pusing, sambung makan nasi lemak. Khairil juga sama. Meja makan jadi sepi. Yang kedengaran hanya bunyi sudu bertemu pinggan.
            Hajah Bie yang baru selesai cantas pokok masuk bersama peluh menitik di dahi. Langkah terhenti bila melihat meja makan. Terpandang cucu sulung sedang bersarapan bersama cucu saudara. Punyalah ramai anak dara, yang bau bacang jugak dia berkenan. Tapi kenapa tak dari dulu? Kalau dari dulu, sah sekarang dia merasa timang cicit. Tak apa ini juga dikira sudah bagus. Yang penting abang sudah berkenan. Kalau dah berkenan tu adalah bunga-bunganya. Mudah-mudahan.
            “Makan nek…” Khairil hulur bungkusan nasi lemak kepada Hajah Bie yang pilih duduk sebelah Adibah. Air juga dihulur sama.
            “Emm, nenek nak abang bawa Dib pergi barang dapur nanti.” Hajah Bie mulakan rancangan. Wajib beri laluan untuk keduanya bersama. Mana tahu akan lebih mudah nanti.
            “Nenek tak pergi sama?”
            “Nenek penat. Boleh Dib?” Pandangan Hajah Bie jatuh kepada wajah cucu saudara yang hampir selesai makan. Emm, berkenan sangat dengan dia ni. Memang tak berapa sempurna, tapi tak tahulah kenapa boleh sayang. Sebab cantik ke? Bukan sebab cantik saja, tapi budi bahasanya. Hmm, tengok pula siapa neneknya, Hajah Mona yang terkenal dengan garang dan tegas. Hajah Bie bukan tidak kenal siapa kakaknya itu.
            “Emm, boleh aje. Tak ada masalah buat Dib. Banyak barang yang nenek nak suruh kita orang beli?” Adibah hirup pula air. Hmm, manis gila. Air potong kaki ni. Adibah toleh pandang orang tukang buat air. Serius, memang manis orangnya.
            “Banyak jugak. Semua barang dapur hampir habis. Nanti nenek senaraikan.”
            “Abang kita pergi Giant lah kalau macam tu.” Cadang Adibah.
            “Hmm…” Khairil cuba habiskan nasi lemak yang dalam kira-kira tak habis. Nak pergi beli barang dapur berdua dengan Adibah? Ini sudah kita dating jugak ni. Aduhai,tak sabar nak pergi.
GIANT KINRARA.  
            Khairil tolak troli ke kawasan barangan basah. Senarai semua barang yang harus dibeli di tangan Adibah. Baru pergi Giant, tapi kenapa perasaan seperti berada di taman bunga. Pelik gila ni. Belum pernah rasa macam ni. Masa lulus lulus final exam pun tak rasa macam ni. Kali ni serius, memang pelik.  
            “Abang…”
            “Yup!” Mata mencari anak mata Adibah dan bertemu di situ tetapi debarannya sampai jantung. Tak sihat ke  aku ni? Selalu sangat jantung berdebar.
            “Dib terus terang, Dib memang tak kenal banyak barang dapur. Yang Dib kenal, beras, gula, tepung, minyak. Yang lain-lain Dib memang tak berapa kenal. Dib nak cakap kat nenek tadi, Dib segan.” Pandangan jatuh pada wajah tenang Khairil. Sumpah, rasanya wajah itulah yang terkacak selepas Van Diesel. Tak tahu kenapa, tiba-tiba saja rasa begitu.
            “Tak apa, nanti abang tolong mana yang abang tahu.” Hmm, budak manja memang macam tu. Mana kenal apa. Makan tidur aje kerjanya. Tapi tak kisah. Sanggup jadikan isteri walau apapun kekurangan dia. Isteri? Wei Khairil, Agak-agaklah. Senyuman serta merta sampai telinga.
            “Abang gelakkan Dib?” Adibah cekak pinggang. Rasa senyuman Khairil tu berbunga sindiran. Tiba-tiba saja rasa sakit hati.
            “Hisy, tak ada sindir-sindirnya.”
            “Habis tu senyuma aje tu kenapa?” Adibah buat muka pula.
            “Salahkah abang nak senyum? Bukan senang abang nak pergi beli barang dapur dengan Dib. Selalu pergi dengan nenek saja.”
            “Abang kutuk Dib, siap abang!” Amaran tegas, tapi Khairil nampak Adibah tambah comel dalam keadaan begitu. Nampak sangat manja. Ah perasaan, kenapa jadi lagu ni. Tenteramlah sikit. Karang dia syak, lagi haru.
            “Tak ada kerja nak kutuk orang.” Khairil bercakap sendiri. Nada manja juga.
            Adibah sambung cari barang. Rasa serabut kepala Adibah melihat barang-barang dapur yang  tersusun kemas. Serabut sebab banyak tak kenal. Apalah budak perempuan seorang ini. Barang dapur pun tak kenal. Memalukan betul. 
“Mula-mula beli beras.” Mata Adibah melilau mencari kawasan beras, tapi dia nampak tempat minyak masak. Sebotol minyak masak saiz besar dimasukkan ke dalam troli.
            “Cukup ke sebotol?” Khairil tanya.
            “Kenapa? Sebotol tak cukup?” Adibah pandang muka Khairil. Mana tahu Hajah Bie biasa beli minyak berbotol-botol. Kalau emak sebotol pun cukup.
            “Mana tahu…” Senyuman terukir di bibir Khairil. Serius, rasa macam pergi beli barang dapur dengan isteri. Dan paling serius rasa seperti baru jadi pengantin baru. Ah! Gembiranya. Tak perlu ke tempat mewah, Giant pun sudah cukup memanjangkan rasa kasih.
            “Ke, abang nak mandi minyak?”
            “Yek? Kalau mandi minyak boleh kahwin cepat?”
            Ada kerutan seribu di dahi Adibah. “Mandi minyak boleh kahwin cepat?” Adibah soal balik.
            “Ada hari tu, bomoh dari Afrika cakap.”
            “Itu Afrika…” Bulat mata Adibah pandang Khairil. Buat lawak klasik rupanya tapi tak mampu buat Adibah gelak atau tersenyum. Khairil saja yang gelak. Mata tak lepas dari pandang Adibah. Hmm… kenapalah gadis nama Adibah Anis Sofea ni, susahnya nak tengok dia gelak. Jangan kata gelak dan tengok dia senyum pun payah.
            “Yalah, abang cakap kat Afrika. Kalau kat Malaysia, mahu tak cukup minyak kita.” Khairil senyum lagi.
            Adibah tak layan. Terus cari bungkusan kunyit. “Abang, kunyit, kari ikan, kari daging. Dib tak kenal.” Sudahnya beritahu juga setelah gagal mencari barang-barang tersebut. Khairil senyum. Kalau serbuk kunyit pun tak kenal, ni memang serius.
            “Tak kanlah tak kenal.”
            “Rumah mak Dib, dah ada dalam bekas. Dib tak pernah pergi beli semua tu.”
            Kharil tolak troli. Tu alasan minta suami beli barang dapurlah tu. Hmm, untung awak dapat suami serba tahu. Bukan senang tahu tak? Khairil pilih bungkusan kunyit. Kemudian bungkusan serbuk kari.
            “Abang sana. Cari kentang.” Adibah tunjuk tempat kentang. Kharil tolak juga troli. Kenal pulak kentang. Ingat tak kenal.
            “Dib…”
            “Ahh…” Adibah belek bungkusan kentang.
            “Dib dah ada seseorang?”
            Tersentak Adibah tapi dia tetap tenang sambil pandang kentang. “Ada,” jawab Adibah sepatah. Terus letak bungkusan kentang dalam troli.
            “Hmm, boleh abang tahu siapa namanya?”
            “Harris Isqandar.”
            “Tapi nenek kata Dib masih belum ada siapa-siapa.”
            Adibah diam. Dia cari cili kering pula. Malas nak layan soalan tak berapa best. Tak bersifat motivasi langsung. Khairil pula masih menanti. Mananti pembohongan seterusnya. Dah agak, pasti Adibah akan beri jawapan begitu. Mungkin nak jaga status. Sambil itu Khairil bantu Adibah pilih bungkusan bawang. Dia pilih bawang putih dan letak dalam troli tapi cepat Adibah ambil semula bungkusan bawang putih dan letak tempat asal.
            “Tak cantik!” kata Adibah.
            Khairil senyum. “Hmm, nak yang cantik aje.”
            “Sebab kita ada pilihan.”
            “Jadinya kalau buruk macam abang ni, tak adalah yang suka?”
            “Eh! Bukan ke abang sendiri yang cakap, ramai yang suka abang, tapi abang saja yang tak berkenan?”
            Khairil gelak besar. Ingat rupanya. Dan Khairil malu sendiri. “Hai, siapalah yang nak abang ni…”
            “Abang jangan merepek. Banyak barang kita nak beli lagi. Karang nenek bising, abang jawab. Ini dah pukul berapa ni. Nak masak lagi.” Kedengaran sangat tegas, tetapi Adibah cakap yang betul. Dari tadi Khairil merepeknya. Entah apa-apa soalan yang ditanya. Penat nak jawab.
            Khairil menurut perintah. Kena belajar untuk mendengar kata. Mana tahu jadi nanti. Mana tahukan…
            Senyum Khairil tambah lebar. 

Thursday 19 April 2012

DIA BAB 2


“Joe, kau tak boleh macam ni. Kau tak boleh lepas tangan macam tu saja. Zahra sudah mengandungkan anak kau. Kau kena bertanggungjawab.”
            “Kau yakin tu anak aku? Bukan kau tak kenal siapa sepupu kau tu. Gadis liar.”
            “Memang dia gadis liar. Tapi seliar dia, dia tak pernah serahkan tubuh badan dia kepada lelaki lain. Lagipun hanya kau seorang saja yang Zahra cinta.”
            “Aku tak percaya Teya. Aku tak akan percaya sama sekali. Masa aku dapatkan dia, dia bukan anak dara lagi. Jadi kau nak aku percaya dia kandungkan anak aku.”
            “Joe, kau tak boleh macam ni. Kau harus percayakan cakap Zahra.”
            “Kau dengar sini Teya. Aku dah masak dengan perempuan macam Zahra tu. Perempuan macam tu hanya mahu mengikis duit aku saja. Dia tahu aku banyak duit, jadi dia ugut aku dengan cara ni. Eh, aku tak akan mengakulah!” Joe bangun.
            “Joe, tolonglah. Aku merayu sangat-sangat. Tak kan kau nak biarkan dia macam tu.” Aku pegang tangan Joe. Kali ini aku benar-benar merayu. Kalau Joe tidak mahu bertanggungjawab, aku terpaksa memikul semuanya selepas ini. Aku yang bakal menjadi mangsa.
            Air mataku jatuh ke pipi. Sudah tidak terbayang nanti aku bakal dituduh melahirkan anak luar nikah oleh saudara mara lain. Tentu penghinaan yang bakal aku terima bertambah-tambah lagi.
            Joe tolak tanganku kasar. “Kau faham bahasa tak? Aku tak akan bertanggunjawab sama sekali. Kau kena faham tu!” Joe menjerit.
            “Joe, kenapa jerit-jerit ni?” seorang lelaki menegur.
            “Eh! Abang, kenapa abang datang sini?” Wajah Joe bertukar pucat. Dia seperti takut-takut selepas itu. Aku tutup mulutku, namun air mata masih berjuraian. Sudah tidak boleh mengawal perasaan sendiri.
            “Abang nak jumpa kawan abang yang jadi pensyarah kat sini. Kebetulan lalu di sini. Apa hal jerit-jerit ni? Tak malu?” soal lelaki yang masih memakai tali leher.
            “Err, tak ada apa-apa,” teragak Joe jawab.
            Lelaki yang menggelarkan dirinya abang itu pandang tepat ke arahku. Cepat-cepat aku sapu air mata. “Kalau tidak ada apa-apa, kenapa bertempik di tengah khalayak ramai ni?” Lelaki itu tanya Joe, tapi matanya pandang aku.
            “Err, ada masalah sikit. Tak ada apa-apalah. Dah selesai.” Joe ajak lelaki tersebut tinggalkan aku. mungkin tidak mahu rahsianya diketauhi oleh sesiapa. Aku hanya perhatikan langkah keduanya dengan pandangan berkaca. Sekali lagi air mataku tumpah.
            

Wednesday 4 April 2012

SAYA RINDU AWAK BAB 3


“Emm, kenapa ni?” soal Syukri. Manager Production sambil letak fail jikko plan yang bakal dibincangkan minggu depan atas meja Khairil.
            Khairil geleng. Dalam kepala Khairil benar-benar kosong.
            “Imigresen problem?”
            Khairil geleng juga. Kening yang tidak gatal digaru perlahan  bersama kerut di dahi. Imigresen? Bila masa dia fikir benda tu?
            “Habis tu? Dua tiga hari monyok semacam.”
            Kharil tarik nafas. “Sabtu ni ada OT ke?”
            Syukri geleng. Khairil sambung menung. Tangan sejak mula pegang iPhone 4s. Dipusing-pusing berkali-kali. Telefon ke tidak? Kalau nenek jawab macam mana? Ah! Itu bukan ke rumah nenek? Tentulah nenek yang jawab. Apalah kau Khairil.  
            “Assalamualaikum nek.” Memang neneklah yang jawab. Kalau boleh Khairil mahu orang lain yang jawab. Siapa tu namanya?
            “Adibah Anis Sofea.” Masih jelas kedengaran suara Hajah Bie menyebut nama penuh Adibah. Huh! Berapa harkat tu? Boleh lepas sekali lafaz ke?
            “Waalaikumusalam. Abang kat mana ni?”
            “Tempat kerja. Nenek sihat?”
            “Alhamdulilah… nenek sihat saja. Emm, abang…”
            “Ya nek.”
            “Perasan tak baru semalam abang telefon nenek?”
            Ah! Sudah nenek ni. “Selalunya sekali seminggu pun payah.” Hajah Bie gelak mengejek.  Dan Khairil rasa badannya berpeluh dalam aircond. Kronik punya ayat.
            “Ke, nak pinjam duit nenek? Abang nak kahwin?” Gelak Hajah Bie kian galak.
            “Telefon salah, tak telefon pun salah.” Rungut Khairil bernada manja. Sengaja.
            “Tidaklah. Nenek suka abang telefon nenek. Nenek gurau ajelah.”
            “Emm, nenek dah masak?”
            “Hari ni nenek tak masak. Kaki nenek sakit. Dib yang masak.”
            “Boleh ke budak tu masak?”
            “Dah nama pun perempuan. Mestilah pandai masak.”
            “Sedap ke?”
            “Nak tahu sedap ke tidak, datanglah rumah.” Gelak Hajah Bie ada makna.
            “Tengoklah petang nanti. Kalau ada, adalah.” Rasanya lebih kepada ada.
            “Kalau nak balik beritahu awal-awal. Senang nenek minta Dib masak lebih.”
            “Bolehlah…”
            “Pulak? Kejap ini juga bolehnya.” Hajah Bie gelak lagi. Ada makna juga tu.
            “Okey nek, Ada meeting ni. Assalamualaikum.” Tanpa menunggu Hajah Bie jawab salam, terus Khairil matikan panggilan. Dia senyum dan senyuman itu bagai ada makna juga.
            “Senyum sampai ke telinga, apa kes?” Syukri tanya.
            Kharil gosok telinga. “Err…pertaruhan hari tu ada lagi?”
            “Yang mana?”
            “Emm, yang tulah..”
            Gelak Syukri sampai meja Encik Harun. Cepat lelaki separuh usia itu angkat kepala. Tayang muka pelik dan kemudian tunduk semula.
            “Emm, masih berjalan.” Bergoyang badan Syukri tahan ketawa.
Khairil gigit bibir. “Kenapa? Tak percaya?”
“Bukan aku tak percaya, tapi aku tak nak percaya.” Jujur kata-kata Syukri, tetapi sakit untuk Khairil percaya.
“Aku tak paksa kau percaya, tapi kau kena percaya. Hujung tahun ni mungkin aku kahwin.”
“Kau ada calon?”
“Rasanya ada.”
“Baru rasa?”
“Lebih kepada ada dan aku rasa aku suka.” Khairil pegang dada. Tak tahu kenapa di situ ada semacam bergetar. Entah, tiba-tiba saja begitu. 

Monday 2 April 2012

DIA...


PAK LONG tarik tali pinggang dengan wajah yang marah. Sejurus selepas itu satu libasan mengena badan Zahra.
            “Ampun papa, ampunkan Zahra.” Zahra merayu.
            “Kau cakap siapa jantan tu?” jerit pak long kuat. Sekali lagi badan Zahra mendapat libasan. Mengelupur Zahra di situ. Aku tahu Zahra benar-benar sakit kali ini. Cara dia mengelupur juga aku tahu bukan sekecil-kecil sakit yang dia tanggung.
            “Sudahlah tu bang.” Mak long tarik tangan pak long. Cuba menyabarkan pak long yang seperti orang kerasukkan hantu.
            “Kau beritahu aku siapa jantan tu?” jerit pak long lagi. Bergema suara pak long di seluruh rumah.
            “Kawan Zahra satu kolej,” jawab Zahra bersama tangisan.
            “Zahra bawa papa jumpa jantan tu sekarang jugak.”
            “Dia dah berhenti papa. Dia dah larikan diri. Zahra tak dapat kesan dia di mana berada sekarang ni.”
            Aku pandang tepat wajah Zahra. Kenapa dia menipu? Bukankah Joe masih lagi menuntut di kolej yang kami belajar. Baru semalam aku terpandang Joe di kafeteria. Apa yang cuba Zahra sembunyikan?
            Sekali lagi badan Zahra mendapat libasan. Seperti tadi, Zahra menggelupur semula. “Papa, ampun Zahra.”Akhirnya Zahra peluk erat kaki pak long.
            “Sudahlah tu bang, kita nak buat macam mana lagi. Benda ni dah jadi.”
            “Dah berapa bulan kandungan Zahra?” soal pak long garang.
            “Masuk tiga bulan papa.”
            “Tiga bulan?” Tanpa teragak-agak pak long libas lagi badan Zahra. Inilah julung-julung kalinya pak long melibas Zahra dengan begitu teruk. Selama ini anak kesayangan itu jangan kata hendak kena libas, kena jentik pun payah.
            Aku? setiap kali Zahra buat hal aku yang dapat habuan. Semua kesalahan tertunding ke arahku namun kali ini, mak long tidak boleh hendak menyalahkan aku lagi kerana yang bunting sekarang ini bukan aku, tetapi anak kesayangan mak long.
            “Sudahlah tu bang, benda ni dah jadi. Sekarang ni kita kena kena fikirkan cara untuk selesaikan masalah ni. Abang pukul Zahra macam mana pun, tidak akan mengubah apa-apa.” Pak long tersandar selepas itu di sofa. Zahra masih lagi menangis. Mak long menemani pak long.
            “Gugurkan kandungan tu,” arah pak long.
            “Abang, kandungan Zahra dah tiga bulan lebih, mana boleh kita gugurkan. Kalau berlaku kepada Zahra nanti macam mana?”
            “Habis awak nak biarkan Zahra mengandung? Awak nak malukan saya? Awak tahu bukan keluarga saya macam mana.” Suara pak long masih kuat.
            Mak long terus pandang aku. Semacam saja mak long pandang. Sejak mak long tahu Zahra mengandung, aku lihat mak long seperti sentiasa berfikir. Mungkinkah kali ini mak long bakal berjaya menghalau aku keluar dari sini? Apakah bebanan yang mak long ungkit saban hari ini bakal disingkirkan?
            Aku tarik nafas. Menantikan rancangan selanjutnya daripada mak long.
            “Saya nak Teya balas budi kita selama kita pelihara dia.” Tiba-tiba mak long bersuara. Aku tenang dan cuba memahami kata-kata mak long walaupun mak long sudah menggunakan bahasa mengungkit.
            Pak long pandang mak long dan aku pandang keduanya. “Saya nak Teya tanggung semuanya sebagai balasan kita jaga dia selama ini.”
            Aku tambah tidak faham. Kata-kata mak long makin mengelirukan. Aku kena tanggung semuanya? Tanggung apa?
            “Teya yang kena jaga anak tu.”
            “Saya tak faham apa maksud  mak long.” Aku tanya. Mustahil pula mak long ada kuasa memindahkan kandungan Zahra ke dalam rahimku. Memang mustahil.
            “Aku nak semua orang sangka kau yang mengandung,” jelas mak long. Namun penjelasan mak long buat aku tambah tidak faham.
            “Apa yang awak merepek ni, Maznah?” soal pak long. Kalau pak long juga fikir mak long sedang merepek, apatah lagi aku. Aku lagilah tidak faham apa maksud sebenar mak long.
            “Sebagai membalas jasa kita bela dia dari kecik, saya nak Teya yang mengandung. Biar semua ahli keluarga yang lain anggap anak tu anak Teya.”
            “Awak dah gila ke? Setan mana yang rasuk awak suruh fikir cara bodoh tu?”
            “Saya tak bodoh bang. Kita takada pilihan lain. Abang tahu tak risiko gugurkan anak? Berkemungkinan besar Zahra tak boleh mengandung lagi. Abang nak anak kita tanggung risiko tu,” soal mak long.
            “Tapi  macam mana? Yang mengandung tu anak kita. Bukannya Teya. Macam mana awak nak sorok perut anak awak tu?”
            “Abang jangan bimbang, saya tahu apa yang saya nak buat.”
            Aku betul-betul tak sangka cetek benar  fikiran mak long sehingga boleh terfikirkan cara bodoh begitu. Tetapi aku sedar juga, semua rancangan mak long itu tetap akan melibatkan aku sama dan akibatnya tentulah berpihak kepadaku.
            Ah! Makin risau aku jadinya.

hai...

Assalamualaikum buat semua pengunjung blog kay. dalam blog ni kay akan letak 3 buah cerita. yang dah betul-betul siap kekasih seperti dia. Sebenarnya Kekasih Seperti Dia tajuk asalnya adalah Suami Seperti Dia. Kay dah tukar jadi Kekasih Seperti Dia. Kay harap ada yang suka dengan cerita yang Kay tulis.  Salam sayang untuk semua.

Sunday 1 April 2012

KEKASIH SEPERTI DIA-PROLOG


“MARSYA nak anak patung ni jugak!”
            “Mana boleh. Ni mak Ain yang hadiahkan untuk Ain,”
            “Kalau Sya kata Sya nak, Ain tak boleh kata tak, faham?” Marsya tarik anak patung dari tangan Ain Najihah. Ain Najihah rampas semula.
            “Nak juga.” Marsya mula menangis.
            “Tak boleh.” Ain Najihah peluk erat anak patung.
            “Minta sini!” jerit Marsya.
            “Ain, Marsya. Kenapa ni?” soal Zafril bila melihat budak perempuan berusia 6 tahun itu saling berebut anak patung.
“Abang, Sya nak anak patung Ain.” Ain Najihah mengadu.
            “Sya nak jugak. Sya tak kira!”
            “Sya mana boleh macam tu. Kita tak boleh ambil hak orang sesuka hati kita. Tak baik.” Zafril cuba memujuk.
            “Sya tak kira, Sya nak jugak anak patung tu.” Marsya menjerit.
            “Tak boleh macam tu.”
            “Sya tak kira. Sya nak jugakkk…” Marsya sudah duduk di atas tanah. Dia meronta-ronta di situ.
            “Ain bagi anak patung tu ya. Nanti kalau nenek nampak Sya macam ni, mesti nenek marah abang. Ain sayang abang tak?”
            Ain Najihah pandang muka Zafril, budak lelaki yang sedang belajar di dalam darjah empat dengan pandangan simpati. Betul, Kalau Marsya terus menangis, nanti Zafril bakal dipukul lagi. Kesian Zafril.
            “Nah!” Ain Najihah serahkan anak patung kepada Zafril. Cepat Marsya bangun dan dia berhenti menangis.
            “Abang boleh beri Sya anak patung ni, tapi Sya kena main dalam rumah.” Zafril letak syarat.
            “Emm,” kata Marsya.
            Zafril serahkan anak patung kepada Marsya dan terus Marsya bawa lari anak patung tersebut ke dalam rumah.
            Air mata Ain Najihah jatuh.
            “Emm, apa kata Ain main dengan abang. Kita main kedai-kedai nak?” Zafril sapu air mata Ain Najihah. Kemudian dia senyum cantik.
            “Emm,” angguk Ain Najihah. Senyum dan senyuman itu jugak cantik.
            Zafril pegang tangan Ain Najihah dan berlari anak menuju belakang kediaman mewah milik Tuan Ariffin. Mereka mula mengutip daun-daun yang terdapat di situ.
            “Jangan petik daun kunyit ya,” pesan Puan Zainab, ibu Ain Najihah melalui tingkap dapur yang terbuka luas.
            “Baik mak,” kata Ain Najihah sambil pandang pokok-pokok kunyit bersebelahan pokok tebu hitam.
            Dan mereka mula berjualan selepas itu. Zafril akan jadi jurujual dan Ain Najihah kononnya ibu yang ke pasar mahu membeli sayur. Mereka saling tawar menawar dan gelak. Berjualan lagi dan sambung gelak.
            “Abang Zafril, main dengan Sya.” Tiba-tiba Marsya muncul.
            “Sya dah ada anak patung, main ajelah anak patung tu,” kata Zafril tanpa memandang wajah Marya. Dia masih tawar menawar dengan Ain Najihah.
            “Nak main dengan abang jugak!” Marsya buat perangai sekali lagi namun Zafril seakan tidak peduli.
            “Emm, abang nak cari sayur lagi ya,” kata Zafril kepada Ain Najihah.
            “Emm, okey. Ain nak sayur sawi.”
            “Okey…” Zafril bergerak untuk mengutip daun bunga kertas yang tumbuh di tepi pagar. Cepat saja Marsya tarik tocang Ain Najihah.
            “Sya tak nak Ain main dengan Abang Zafril. Sya tak suka. Nanti bila Sya besar, Sya nak kahwin dengan Abang Zafril. Ain kena ingat tu. Jangan main dengan Abang Zafril. Pergi masuk rumah sekarang.” Marsya tolak pula badan Ain Najihah. Berlari Ain Najihah menuju rumah bersama tangisan.
            “Eh! Mana Ain?” soal Zafril bila melihat Ain Najihah sudah tiada di tempat mereka main kedai-kedai.
            “Ain tak nak main dengan abang. Dia dah masuk rumah. Abang  main dengan Sya ya.” Marsya merayu.
            “Kalau macam tu, abang pun nak masuk jugak. Abang nak mandi.” Langkah Zafril laju menuju rumh.
            “Abang!” Marsya hentak kaki. Kecewa. 

Friday 23 March 2012

SAYA RINDU AWAK Bab 2


ADIBAH tolong potong bawang. Baru dua biji, air mata berjuraian. Tak tahan. Hari ini jatuh hari keempat dia di rumah Hajah Bie. So far so good. Adibah enjoy dan rasa bebas. Tak ada siapa-siapa nak marah dia bangun lambat atau nak tengok tv 24 jam.
            Hajah Bie siang ikan di sinki. Ikan tongkol. Nak masak asam pedas. Setakat ini masakan Hajah Bie sentiasa kena dengan tekak Adibah terutama sambal ayam. Perggh! Kelas. Kalau datang dulu berat badan Adibah baru 47kg balik nanti mahu 57kg. Sudahlah kerjanya makan tidur saja.
            Lepas potong bawang Adibah ambil periok nasi. Memang kerja Adibah masak nasi sebab selepas potong bawang Adibah hanya pandai masak nasi saja.
            “Dib tambah dua pot lagi ya,” kata Hajah Bie.
            “Amboi nek, ni perli Dib ke? Mentang-mentang Dib kuat makan,” kata Adibah. Menipu sangatlah dia tidak terasa. Selalu tiga pot saja. Hari ni tambah lagi dua pot. Nampak benor kuat makan dia. Kalau satu pot tu, masih boleh diampunkan.
            “Apa perli pulak. Hari ni tambah lagi seorang makan dengan kita,” balas Hajah Bie.
            Oh, kisahnya. Adibah tidak soal lagi. Terus saja masukkan lima pot beras. Siapa yang bakal tumpang makan dengan mereka tidak menjadi soal. Dia ke sinki. Basuh beras dan sambil pandang Hajah Bie potong ikan.
            “Air beras tu tuang atas ikan,” arah Hajah Bie waktu Adibah mahu buang air basuhan beras. “Untuk hilangkan hanyir ikan,” jelas Hajah Bie.
            Kisahnya. Ah! Banyak betul kisahnya. Sejak tinggal dengan Hajah Bie ini, macam-macam yang Adibah tahu.
            Lepas tekan suis periok nasi, Adibah berdiri bersebelahan Hajah Bie yang sudah mula tumbuk cili. Leka Adibah perhatikan kerja Hajah Bie yang sangat tertib. Kalau Adibah mahu runtuh kabinet tu.
            “Nek, hari ni tak ada sambal ayam?” soal Adibah bila melihat tiada ayam dikeluarkan dari peti sejuk.
            “Semalam dah sambal ayam. Hari ni sambal sotong pulak ya,” kata Hajah Bie. Adibah sudah tangkap kecewa. Sambal ayam dikecualikan hari ini. Tak apalah. Makan sambal sotong pula.
            Sedang Adibah pujuk perasaan,loceng pintu berbunyi.
            “Abang datang tu. Pergi pakai tudung,” arah Hajah Bie.
            Abang? Tapi cepat Adibah buka langkah pergi bilik, Kemudian sarung tudung warna coklat yang tersedia atas katil. Waktu dia keluar dari bilik seorang lelaki sedang berbual dengan Hajah Bie.
            “Dia ni bukan orang lain dengan abang. Sepupu dua kali. Mak abang dengan mak dia sepupu,” jelas Hajah Bie. Adibah pandang saja wajah lelaki yang memakai baju warna hijau muda itu.
            “Dib, kenalkan ini cucu nenek yang sulung Khairil.”
            Mereka saling berpandangan sekejap. Kemudian Kharil bertanya,“ Nenek  masak apa hari ni?”  Sekaligus mematikan pandangan keduanya.
            “Masakan kegemaran abang.”
            “Hmm… Sambal sotong?’
            “Ya, nenek tak lupa walaupun dah lama abang tak datang rumah nenek ni. Maklumlah, orang dah ada rumah sendiri. Manalah nak ingat nenek lagi.”
            “Alaa..bukan abang lupa nenek. Abang betul sibuk ni. Ini pun kebetulan lalu sini.” Kharil peluk Hajah Bie.
            “Emm, kenapa abang dah kurus ni?”
            “Makan tak sedap nek.”
            “Kalau macam tu kahwinlah cepat.”
            “Memang abang nak kahwin. Kalau ikuatkan kejap ini abang nak kahwin, tapi tak ada orang nak kahwin dengan abang.”
            “Tak ada orang yang nak abang?”
            Kharil gelak. Kemudian dia garu kening. “Yang nak kat abang tu ramai, tapi abang tak nak pulak kat mereka.”
            “Tu le pasalnya.” Hajah Bie sambung masak dan Adibah sambung tolong apa yang patut. Khairil duduk di kerusi makan sambil perhatikan Adibah yang mengacau bawang dalam kuali. Hmm, sepupu dua kali? Tak pernah tengok di mana-mana pun. Sepupu dua kali saja. Sedang yang betul-betul sepupu juga payah nak berjumpa, inikan pulak sepupu yang berkali-kali.
            Hajah Bie masukkan cili kering yang ditumbuk bersama belacan ke dalam kuali. Baunya bangkit. Terbesin Adibah jadinya. Dua kali dia bersin. Sudahnya Adibah lari ke ruang tamu. Tak tahan. Khairil ekori Adibah dengan pandangan.
            “Nek, budak tu okey?” soal Khairil.
            “Buat teman bolehlah.”
            “Memang tak bekerja ke?”
            “Emm, budak dah biasa makan tidur, mana nak kerja.”
            “Uiks, senangnya hidup.”
            “Tapi rajin jugak tolong nenek masak. Kira okeylah tu.”
            Kharil kembali pusing gelas yang berisi bunga dua kuntum bunga carnation yang menjadi penyeri meja sebaik sahaja Adibah muncul semula. Sekali lagi Adibah bersin.
            “Hmm, nampak benor tak rajin ke dapur.” Kharil senyum nakal. Saja mahu mengusik sepupu dua kalinya itu. Pangkat-pangkat adik.
Riak wajah Adibah tidak berubah tapi perasaannya malu campur geram.
“Abang, jangan nak usik Dib. Karang Dib balik, nenek paksa abang tinggal dengan nenek.”
“Salah ke abang nak usik adik abang?” Kharil senyum lagi, tambah nakal bila melihat wajah Adibah tenang tak beriak. Comel jugak budaknya.
“Sudah-sudah. Jangan nak menyakat saja kerjanya. Abang tunggu aje kat luar dulu. Nenek nak masak. Melayan abang tu, karang lambat pulak nenek masak.”
Kharil bangun. Terus atur langkah. Beberapa tapak, dia menoleh sekilas dan nampak Adibah bersin sekali lagi.
Betul, memang comel. Mata Khairil tak tipu.
Khairil ke bilik. Dah lama tak jengah bilik. Hampir 3 bulan lepas duduk rasmi rumah baru, jarang Khairil singgah rumah Hajah Bie.
Tergamam Khairil melihat biliknya. Sudah berubah habis. Ada poster besar Van Diesel lagi. Hmm, sama minat dengan aku rupanya budak ni. Khairil tarik nafas. Hmm, terasa ada bau gadis dalam biliknya. Rasa sangat lain.
Khairil lambung badan atas katil. Ah! Rindu pada katil yang lama ditinggalkan. Emm, rasa lain macam.
“Abang, dah siap. Jom makan.”  Sayup suara Hajah Bie memanggil.
Khairil bangun. Sebelum tu dia berdiri mengadap muka Van Diesel. Fast and Furious 5, mungkinkah?
ATAS meja sudah terhidang makanan tengahari. Ada asam pedas ikan tongkol, sambal sotong, telur dadar.
            “Hmm, ini abang sayang nenek. Semua lauk kegemaran abang ada.” Kharil senduk nasi. Mata pandang Adibah yang sedang bancuh air oren. Masa Adibah bawa jug, Khairil baca doa makan.
            Adibah tumpang aminkan sebaik sahaja duduk. Kemudian senduk nasi. Lapar.
            “Hmm, masakan nenek memang kelas. Umi pun tak masak macam ni.” Khairil mulakan acara memuji. “Kalau Dib nak pandai masak, belajar dengan nenek. Nanti senang.”
            Kali ini Adibah rasa pujian Khairil bertepatan. Memang sedap. “Nak ke nenek ajar Dib. Dib ni bebal sikit.”
            “Hisy, kenapa cakap macam tu. Nenek main campak saja ni.”
            “Betulkan Dib. Sedap gila.” Puji Khairil lagi.
            “Emm, memang,” balas Adibah.
            “Hmm, kata umi kamu dah nak pindah. Jadi ke?”
            “Hujung tahun. Abah dah pencen.” Laju Khairil kunyah nasi.Adibah juga sama, jadi perbualan antara Kharil dan Hajah Bie didengar sekali lalu.
Meja makan jadi sepi seketika.
“Nek, banyak betul sotong kering bergayutan dalam bilik abang. Rasanya bukan nenek punya sebab ni jenis sotong kering yang comel-comel.” Selepas sepi berlalu beberpa ketika, Khairil spontan bercakap.
            Rasa Adibah seperti darahnya sudah kering. Lelaki itu sebut sotong kering dalam bilik? Cepat Adibah toleh pandang Khairil. Masa itulah dia perasan Khairil sudah tersenyum sinis sambil senduk asam pedas.  
            “Nenek lupa nak bagitau. Nenek suruh Dib tinggal dalam bilik abang sementara Dib temankan nenek.”
            “Hmm, padan pun.”  Lagi senyum sinis Khairil terukir galak.
            Adibah tambah tak terkata. Asam pedas yang asalnya sedap tidak terkata, jadi rasa asam pedas semalam yang sudah hampir-hampir basi. Tidak sedap semuanya.