teman-teman

Sunday 1 April 2012

KEKASIH SEPERTI DIA-PROLOG


“MARSYA nak anak patung ni jugak!”
            “Mana boleh. Ni mak Ain yang hadiahkan untuk Ain,”
            “Kalau Sya kata Sya nak, Ain tak boleh kata tak, faham?” Marsya tarik anak patung dari tangan Ain Najihah. Ain Najihah rampas semula.
            “Nak juga.” Marsya mula menangis.
            “Tak boleh.” Ain Najihah peluk erat anak patung.
            “Minta sini!” jerit Marsya.
            “Ain, Marsya. Kenapa ni?” soal Zafril bila melihat budak perempuan berusia 6 tahun itu saling berebut anak patung.
“Abang, Sya nak anak patung Ain.” Ain Najihah mengadu.
            “Sya nak jugak. Sya tak kira!”
            “Sya mana boleh macam tu. Kita tak boleh ambil hak orang sesuka hati kita. Tak baik.” Zafril cuba memujuk.
            “Sya tak kira, Sya nak jugak anak patung tu.” Marsya menjerit.
            “Tak boleh macam tu.”
            “Sya tak kira. Sya nak jugakkk…” Marsya sudah duduk di atas tanah. Dia meronta-ronta di situ.
            “Ain bagi anak patung tu ya. Nanti kalau nenek nampak Sya macam ni, mesti nenek marah abang. Ain sayang abang tak?”
            Ain Najihah pandang muka Zafril, budak lelaki yang sedang belajar di dalam darjah empat dengan pandangan simpati. Betul, Kalau Marsya terus menangis, nanti Zafril bakal dipukul lagi. Kesian Zafril.
            “Nah!” Ain Najihah serahkan anak patung kepada Zafril. Cepat Marsya bangun dan dia berhenti menangis.
            “Abang boleh beri Sya anak patung ni, tapi Sya kena main dalam rumah.” Zafril letak syarat.
            “Emm,” kata Marsya.
            Zafril serahkan anak patung kepada Marsya dan terus Marsya bawa lari anak patung tersebut ke dalam rumah.
            Air mata Ain Najihah jatuh.
            “Emm, apa kata Ain main dengan abang. Kita main kedai-kedai nak?” Zafril sapu air mata Ain Najihah. Kemudian dia senyum cantik.
            “Emm,” angguk Ain Najihah. Senyum dan senyuman itu jugak cantik.
            Zafril pegang tangan Ain Najihah dan berlari anak menuju belakang kediaman mewah milik Tuan Ariffin. Mereka mula mengutip daun-daun yang terdapat di situ.
            “Jangan petik daun kunyit ya,” pesan Puan Zainab, ibu Ain Najihah melalui tingkap dapur yang terbuka luas.
            “Baik mak,” kata Ain Najihah sambil pandang pokok-pokok kunyit bersebelahan pokok tebu hitam.
            Dan mereka mula berjualan selepas itu. Zafril akan jadi jurujual dan Ain Najihah kononnya ibu yang ke pasar mahu membeli sayur. Mereka saling tawar menawar dan gelak. Berjualan lagi dan sambung gelak.
            “Abang Zafril, main dengan Sya.” Tiba-tiba Marsya muncul.
            “Sya dah ada anak patung, main ajelah anak patung tu,” kata Zafril tanpa memandang wajah Marya. Dia masih tawar menawar dengan Ain Najihah.
            “Nak main dengan abang jugak!” Marsya buat perangai sekali lagi namun Zafril seakan tidak peduli.
            “Emm, abang nak cari sayur lagi ya,” kata Zafril kepada Ain Najihah.
            “Emm, okey. Ain nak sayur sawi.”
            “Okey…” Zafril bergerak untuk mengutip daun bunga kertas yang tumbuh di tepi pagar. Cepat saja Marsya tarik tocang Ain Najihah.
            “Sya tak nak Ain main dengan Abang Zafril. Sya tak suka. Nanti bila Sya besar, Sya nak kahwin dengan Abang Zafril. Ain kena ingat tu. Jangan main dengan Abang Zafril. Pergi masuk rumah sekarang.” Marsya tolak pula badan Ain Najihah. Berlari Ain Najihah menuju rumah bersama tangisan.
            “Eh! Mana Ain?” soal Zafril bila melihat Ain Najihah sudah tiada di tempat mereka main kedai-kedai.
            “Ain tak nak main dengan abang. Dia dah masuk rumah. Abang  main dengan Sya ya.” Marsya merayu.
            “Kalau macam tu, abang pun nak masuk jugak. Abang nak mandi.” Langkah Zafril laju menuju rumh.
            “Abang!” Marsya hentak kaki. Kecewa. 

No comments:

Post a Comment