teman-teman

Thursday 19 April 2012

DIA BAB 2


“Joe, kau tak boleh macam ni. Kau tak boleh lepas tangan macam tu saja. Zahra sudah mengandungkan anak kau. Kau kena bertanggungjawab.”
            “Kau yakin tu anak aku? Bukan kau tak kenal siapa sepupu kau tu. Gadis liar.”
            “Memang dia gadis liar. Tapi seliar dia, dia tak pernah serahkan tubuh badan dia kepada lelaki lain. Lagipun hanya kau seorang saja yang Zahra cinta.”
            “Aku tak percaya Teya. Aku tak akan percaya sama sekali. Masa aku dapatkan dia, dia bukan anak dara lagi. Jadi kau nak aku percaya dia kandungkan anak aku.”
            “Joe, kau tak boleh macam ni. Kau harus percayakan cakap Zahra.”
            “Kau dengar sini Teya. Aku dah masak dengan perempuan macam Zahra tu. Perempuan macam tu hanya mahu mengikis duit aku saja. Dia tahu aku banyak duit, jadi dia ugut aku dengan cara ni. Eh, aku tak akan mengakulah!” Joe bangun.
            “Joe, tolonglah. Aku merayu sangat-sangat. Tak kan kau nak biarkan dia macam tu.” Aku pegang tangan Joe. Kali ini aku benar-benar merayu. Kalau Joe tidak mahu bertanggungjawab, aku terpaksa memikul semuanya selepas ini. Aku yang bakal menjadi mangsa.
            Air mataku jatuh ke pipi. Sudah tidak terbayang nanti aku bakal dituduh melahirkan anak luar nikah oleh saudara mara lain. Tentu penghinaan yang bakal aku terima bertambah-tambah lagi.
            Joe tolak tanganku kasar. “Kau faham bahasa tak? Aku tak akan bertanggunjawab sama sekali. Kau kena faham tu!” Joe menjerit.
            “Joe, kenapa jerit-jerit ni?” seorang lelaki menegur.
            “Eh! Abang, kenapa abang datang sini?” Wajah Joe bertukar pucat. Dia seperti takut-takut selepas itu. Aku tutup mulutku, namun air mata masih berjuraian. Sudah tidak boleh mengawal perasaan sendiri.
            “Abang nak jumpa kawan abang yang jadi pensyarah kat sini. Kebetulan lalu di sini. Apa hal jerit-jerit ni? Tak malu?” soal lelaki yang masih memakai tali leher.
            “Err, tak ada apa-apa,” teragak Joe jawab.
            Lelaki yang menggelarkan dirinya abang itu pandang tepat ke arahku. Cepat-cepat aku sapu air mata. “Kalau tidak ada apa-apa, kenapa bertempik di tengah khalayak ramai ni?” Lelaki itu tanya Joe, tapi matanya pandang aku.
            “Err, ada masalah sikit. Tak ada apa-apalah. Dah selesai.” Joe ajak lelaki tersebut tinggalkan aku. mungkin tidak mahu rahsianya diketauhi oleh sesiapa. Aku hanya perhatikan langkah keduanya dengan pandangan berkaca. Sekali lagi air mataku tumpah.
            

Wednesday 4 April 2012

SAYA RINDU AWAK BAB 3


“Emm, kenapa ni?” soal Syukri. Manager Production sambil letak fail jikko plan yang bakal dibincangkan minggu depan atas meja Khairil.
            Khairil geleng. Dalam kepala Khairil benar-benar kosong.
            “Imigresen problem?”
            Khairil geleng juga. Kening yang tidak gatal digaru perlahan  bersama kerut di dahi. Imigresen? Bila masa dia fikir benda tu?
            “Habis tu? Dua tiga hari monyok semacam.”
            Kharil tarik nafas. “Sabtu ni ada OT ke?”
            Syukri geleng. Khairil sambung menung. Tangan sejak mula pegang iPhone 4s. Dipusing-pusing berkali-kali. Telefon ke tidak? Kalau nenek jawab macam mana? Ah! Itu bukan ke rumah nenek? Tentulah nenek yang jawab. Apalah kau Khairil.  
            “Assalamualaikum nek.” Memang neneklah yang jawab. Kalau boleh Khairil mahu orang lain yang jawab. Siapa tu namanya?
            “Adibah Anis Sofea.” Masih jelas kedengaran suara Hajah Bie menyebut nama penuh Adibah. Huh! Berapa harkat tu? Boleh lepas sekali lafaz ke?
            “Waalaikumusalam. Abang kat mana ni?”
            “Tempat kerja. Nenek sihat?”
            “Alhamdulilah… nenek sihat saja. Emm, abang…”
            “Ya nek.”
            “Perasan tak baru semalam abang telefon nenek?”
            Ah! Sudah nenek ni. “Selalunya sekali seminggu pun payah.” Hajah Bie gelak mengejek.  Dan Khairil rasa badannya berpeluh dalam aircond. Kronik punya ayat.
            “Ke, nak pinjam duit nenek? Abang nak kahwin?” Gelak Hajah Bie kian galak.
            “Telefon salah, tak telefon pun salah.” Rungut Khairil bernada manja. Sengaja.
            “Tidaklah. Nenek suka abang telefon nenek. Nenek gurau ajelah.”
            “Emm, nenek dah masak?”
            “Hari ni nenek tak masak. Kaki nenek sakit. Dib yang masak.”
            “Boleh ke budak tu masak?”
            “Dah nama pun perempuan. Mestilah pandai masak.”
            “Sedap ke?”
            “Nak tahu sedap ke tidak, datanglah rumah.” Gelak Hajah Bie ada makna.
            “Tengoklah petang nanti. Kalau ada, adalah.” Rasanya lebih kepada ada.
            “Kalau nak balik beritahu awal-awal. Senang nenek minta Dib masak lebih.”
            “Bolehlah…”
            “Pulak? Kejap ini juga bolehnya.” Hajah Bie gelak lagi. Ada makna juga tu.
            “Okey nek, Ada meeting ni. Assalamualaikum.” Tanpa menunggu Hajah Bie jawab salam, terus Khairil matikan panggilan. Dia senyum dan senyuman itu bagai ada makna juga.
            “Senyum sampai ke telinga, apa kes?” Syukri tanya.
            Kharil gosok telinga. “Err…pertaruhan hari tu ada lagi?”
            “Yang mana?”
            “Emm, yang tulah..”
            Gelak Syukri sampai meja Encik Harun. Cepat lelaki separuh usia itu angkat kepala. Tayang muka pelik dan kemudian tunduk semula.
            “Emm, masih berjalan.” Bergoyang badan Syukri tahan ketawa.
Khairil gigit bibir. “Kenapa? Tak percaya?”
“Bukan aku tak percaya, tapi aku tak nak percaya.” Jujur kata-kata Syukri, tetapi sakit untuk Khairil percaya.
“Aku tak paksa kau percaya, tapi kau kena percaya. Hujung tahun ni mungkin aku kahwin.”
“Kau ada calon?”
“Rasanya ada.”
“Baru rasa?”
“Lebih kepada ada dan aku rasa aku suka.” Khairil pegang dada. Tak tahu kenapa di situ ada semacam bergetar. Entah, tiba-tiba saja begitu. 

Monday 2 April 2012

DIA...


PAK LONG tarik tali pinggang dengan wajah yang marah. Sejurus selepas itu satu libasan mengena badan Zahra.
            “Ampun papa, ampunkan Zahra.” Zahra merayu.
            “Kau cakap siapa jantan tu?” jerit pak long kuat. Sekali lagi badan Zahra mendapat libasan. Mengelupur Zahra di situ. Aku tahu Zahra benar-benar sakit kali ini. Cara dia mengelupur juga aku tahu bukan sekecil-kecil sakit yang dia tanggung.
            “Sudahlah tu bang.” Mak long tarik tangan pak long. Cuba menyabarkan pak long yang seperti orang kerasukkan hantu.
            “Kau beritahu aku siapa jantan tu?” jerit pak long lagi. Bergema suara pak long di seluruh rumah.
            “Kawan Zahra satu kolej,” jawab Zahra bersama tangisan.
            “Zahra bawa papa jumpa jantan tu sekarang jugak.”
            “Dia dah berhenti papa. Dia dah larikan diri. Zahra tak dapat kesan dia di mana berada sekarang ni.”
            Aku pandang tepat wajah Zahra. Kenapa dia menipu? Bukankah Joe masih lagi menuntut di kolej yang kami belajar. Baru semalam aku terpandang Joe di kafeteria. Apa yang cuba Zahra sembunyikan?
            Sekali lagi badan Zahra mendapat libasan. Seperti tadi, Zahra menggelupur semula. “Papa, ampun Zahra.”Akhirnya Zahra peluk erat kaki pak long.
            “Sudahlah tu bang, kita nak buat macam mana lagi. Benda ni dah jadi.”
            “Dah berapa bulan kandungan Zahra?” soal pak long garang.
            “Masuk tiga bulan papa.”
            “Tiga bulan?” Tanpa teragak-agak pak long libas lagi badan Zahra. Inilah julung-julung kalinya pak long melibas Zahra dengan begitu teruk. Selama ini anak kesayangan itu jangan kata hendak kena libas, kena jentik pun payah.
            Aku? setiap kali Zahra buat hal aku yang dapat habuan. Semua kesalahan tertunding ke arahku namun kali ini, mak long tidak boleh hendak menyalahkan aku lagi kerana yang bunting sekarang ini bukan aku, tetapi anak kesayangan mak long.
            “Sudahlah tu bang, benda ni dah jadi. Sekarang ni kita kena kena fikirkan cara untuk selesaikan masalah ni. Abang pukul Zahra macam mana pun, tidak akan mengubah apa-apa.” Pak long tersandar selepas itu di sofa. Zahra masih lagi menangis. Mak long menemani pak long.
            “Gugurkan kandungan tu,” arah pak long.
            “Abang, kandungan Zahra dah tiga bulan lebih, mana boleh kita gugurkan. Kalau berlaku kepada Zahra nanti macam mana?”
            “Habis awak nak biarkan Zahra mengandung? Awak nak malukan saya? Awak tahu bukan keluarga saya macam mana.” Suara pak long masih kuat.
            Mak long terus pandang aku. Semacam saja mak long pandang. Sejak mak long tahu Zahra mengandung, aku lihat mak long seperti sentiasa berfikir. Mungkinkah kali ini mak long bakal berjaya menghalau aku keluar dari sini? Apakah bebanan yang mak long ungkit saban hari ini bakal disingkirkan?
            Aku tarik nafas. Menantikan rancangan selanjutnya daripada mak long.
            “Saya nak Teya balas budi kita selama kita pelihara dia.” Tiba-tiba mak long bersuara. Aku tenang dan cuba memahami kata-kata mak long walaupun mak long sudah menggunakan bahasa mengungkit.
            Pak long pandang mak long dan aku pandang keduanya. “Saya nak Teya tanggung semuanya sebagai balasan kita jaga dia selama ini.”
            Aku tambah tidak faham. Kata-kata mak long makin mengelirukan. Aku kena tanggung semuanya? Tanggung apa?
            “Teya yang kena jaga anak tu.”
            “Saya tak faham apa maksud  mak long.” Aku tanya. Mustahil pula mak long ada kuasa memindahkan kandungan Zahra ke dalam rahimku. Memang mustahil.
            “Aku nak semua orang sangka kau yang mengandung,” jelas mak long. Namun penjelasan mak long buat aku tambah tidak faham.
            “Apa yang awak merepek ni, Maznah?” soal pak long. Kalau pak long juga fikir mak long sedang merepek, apatah lagi aku. Aku lagilah tidak faham apa maksud sebenar mak long.
            “Sebagai membalas jasa kita bela dia dari kecik, saya nak Teya yang mengandung. Biar semua ahli keluarga yang lain anggap anak tu anak Teya.”
            “Awak dah gila ke? Setan mana yang rasuk awak suruh fikir cara bodoh tu?”
            “Saya tak bodoh bang. Kita takada pilihan lain. Abang tahu tak risiko gugurkan anak? Berkemungkinan besar Zahra tak boleh mengandung lagi. Abang nak anak kita tanggung risiko tu,” soal mak long.
            “Tapi  macam mana? Yang mengandung tu anak kita. Bukannya Teya. Macam mana awak nak sorok perut anak awak tu?”
            “Abang jangan bimbang, saya tahu apa yang saya nak buat.”
            Aku betul-betul tak sangka cetek benar  fikiran mak long sehingga boleh terfikirkan cara bodoh begitu. Tetapi aku sedar juga, semua rancangan mak long itu tetap akan melibatkan aku sama dan akibatnya tentulah berpihak kepadaku.
            Ah! Makin risau aku jadinya.

hai...

Assalamualaikum buat semua pengunjung blog kay. dalam blog ni kay akan letak 3 buah cerita. yang dah betul-betul siap kekasih seperti dia. Sebenarnya Kekasih Seperti Dia tajuk asalnya adalah Suami Seperti Dia. Kay dah tukar jadi Kekasih Seperti Dia. Kay harap ada yang suka dengan cerita yang Kay tulis.  Salam sayang untuk semua.

Sunday 1 April 2012

KEKASIH SEPERTI DIA-PROLOG


“MARSYA nak anak patung ni jugak!”
            “Mana boleh. Ni mak Ain yang hadiahkan untuk Ain,”
            “Kalau Sya kata Sya nak, Ain tak boleh kata tak, faham?” Marsya tarik anak patung dari tangan Ain Najihah. Ain Najihah rampas semula.
            “Nak juga.” Marsya mula menangis.
            “Tak boleh.” Ain Najihah peluk erat anak patung.
            “Minta sini!” jerit Marsya.
            “Ain, Marsya. Kenapa ni?” soal Zafril bila melihat budak perempuan berusia 6 tahun itu saling berebut anak patung.
“Abang, Sya nak anak patung Ain.” Ain Najihah mengadu.
            “Sya nak jugak. Sya tak kira!”
            “Sya mana boleh macam tu. Kita tak boleh ambil hak orang sesuka hati kita. Tak baik.” Zafril cuba memujuk.
            “Sya tak kira, Sya nak jugak anak patung tu.” Marsya menjerit.
            “Tak boleh macam tu.”
            “Sya tak kira. Sya nak jugakkk…” Marsya sudah duduk di atas tanah. Dia meronta-ronta di situ.
            “Ain bagi anak patung tu ya. Nanti kalau nenek nampak Sya macam ni, mesti nenek marah abang. Ain sayang abang tak?”
            Ain Najihah pandang muka Zafril, budak lelaki yang sedang belajar di dalam darjah empat dengan pandangan simpati. Betul, Kalau Marsya terus menangis, nanti Zafril bakal dipukul lagi. Kesian Zafril.
            “Nah!” Ain Najihah serahkan anak patung kepada Zafril. Cepat Marsya bangun dan dia berhenti menangis.
            “Abang boleh beri Sya anak patung ni, tapi Sya kena main dalam rumah.” Zafril letak syarat.
            “Emm,” kata Marsya.
            Zafril serahkan anak patung kepada Marsya dan terus Marsya bawa lari anak patung tersebut ke dalam rumah.
            Air mata Ain Najihah jatuh.
            “Emm, apa kata Ain main dengan abang. Kita main kedai-kedai nak?” Zafril sapu air mata Ain Najihah. Kemudian dia senyum cantik.
            “Emm,” angguk Ain Najihah. Senyum dan senyuman itu jugak cantik.
            Zafril pegang tangan Ain Najihah dan berlari anak menuju belakang kediaman mewah milik Tuan Ariffin. Mereka mula mengutip daun-daun yang terdapat di situ.
            “Jangan petik daun kunyit ya,” pesan Puan Zainab, ibu Ain Najihah melalui tingkap dapur yang terbuka luas.
            “Baik mak,” kata Ain Najihah sambil pandang pokok-pokok kunyit bersebelahan pokok tebu hitam.
            Dan mereka mula berjualan selepas itu. Zafril akan jadi jurujual dan Ain Najihah kononnya ibu yang ke pasar mahu membeli sayur. Mereka saling tawar menawar dan gelak. Berjualan lagi dan sambung gelak.
            “Abang Zafril, main dengan Sya.” Tiba-tiba Marsya muncul.
            “Sya dah ada anak patung, main ajelah anak patung tu,” kata Zafril tanpa memandang wajah Marya. Dia masih tawar menawar dengan Ain Najihah.
            “Nak main dengan abang jugak!” Marsya buat perangai sekali lagi namun Zafril seakan tidak peduli.
            “Emm, abang nak cari sayur lagi ya,” kata Zafril kepada Ain Najihah.
            “Emm, okey. Ain nak sayur sawi.”
            “Okey…” Zafril bergerak untuk mengutip daun bunga kertas yang tumbuh di tepi pagar. Cepat saja Marsya tarik tocang Ain Najihah.
            “Sya tak nak Ain main dengan Abang Zafril. Sya tak suka. Nanti bila Sya besar, Sya nak kahwin dengan Abang Zafril. Ain kena ingat tu. Jangan main dengan Abang Zafril. Pergi masuk rumah sekarang.” Marsya tolak pula badan Ain Najihah. Berlari Ain Najihah menuju rumah bersama tangisan.
            “Eh! Mana Ain?” soal Zafril bila melihat Ain Najihah sudah tiada di tempat mereka main kedai-kedai.
            “Ain tak nak main dengan abang. Dia dah masuk rumah. Abang  main dengan Sya ya.” Marsya merayu.
            “Kalau macam tu, abang pun nak masuk jugak. Abang nak mandi.” Langkah Zafril laju menuju rumh.
            “Abang!” Marsya hentak kaki. Kecewa.