teman-teman

Friday 23 March 2012

SAYA RINDU AWAK Bab 2


ADIBAH tolong potong bawang. Baru dua biji, air mata berjuraian. Tak tahan. Hari ini jatuh hari keempat dia di rumah Hajah Bie. So far so good. Adibah enjoy dan rasa bebas. Tak ada siapa-siapa nak marah dia bangun lambat atau nak tengok tv 24 jam.
            Hajah Bie siang ikan di sinki. Ikan tongkol. Nak masak asam pedas. Setakat ini masakan Hajah Bie sentiasa kena dengan tekak Adibah terutama sambal ayam. Perggh! Kelas. Kalau datang dulu berat badan Adibah baru 47kg balik nanti mahu 57kg. Sudahlah kerjanya makan tidur saja.
            Lepas potong bawang Adibah ambil periok nasi. Memang kerja Adibah masak nasi sebab selepas potong bawang Adibah hanya pandai masak nasi saja.
            “Dib tambah dua pot lagi ya,” kata Hajah Bie.
            “Amboi nek, ni perli Dib ke? Mentang-mentang Dib kuat makan,” kata Adibah. Menipu sangatlah dia tidak terasa. Selalu tiga pot saja. Hari ni tambah lagi dua pot. Nampak benor kuat makan dia. Kalau satu pot tu, masih boleh diampunkan.
            “Apa perli pulak. Hari ni tambah lagi seorang makan dengan kita,” balas Hajah Bie.
            Oh, kisahnya. Adibah tidak soal lagi. Terus saja masukkan lima pot beras. Siapa yang bakal tumpang makan dengan mereka tidak menjadi soal. Dia ke sinki. Basuh beras dan sambil pandang Hajah Bie potong ikan.
            “Air beras tu tuang atas ikan,” arah Hajah Bie waktu Adibah mahu buang air basuhan beras. “Untuk hilangkan hanyir ikan,” jelas Hajah Bie.
            Kisahnya. Ah! Banyak betul kisahnya. Sejak tinggal dengan Hajah Bie ini, macam-macam yang Adibah tahu.
            Lepas tekan suis periok nasi, Adibah berdiri bersebelahan Hajah Bie yang sudah mula tumbuk cili. Leka Adibah perhatikan kerja Hajah Bie yang sangat tertib. Kalau Adibah mahu runtuh kabinet tu.
            “Nek, hari ni tak ada sambal ayam?” soal Adibah bila melihat tiada ayam dikeluarkan dari peti sejuk.
            “Semalam dah sambal ayam. Hari ni sambal sotong pulak ya,” kata Hajah Bie. Adibah sudah tangkap kecewa. Sambal ayam dikecualikan hari ini. Tak apalah. Makan sambal sotong pula.
            Sedang Adibah pujuk perasaan,loceng pintu berbunyi.
            “Abang datang tu. Pergi pakai tudung,” arah Hajah Bie.
            Abang? Tapi cepat Adibah buka langkah pergi bilik, Kemudian sarung tudung warna coklat yang tersedia atas katil. Waktu dia keluar dari bilik seorang lelaki sedang berbual dengan Hajah Bie.
            “Dia ni bukan orang lain dengan abang. Sepupu dua kali. Mak abang dengan mak dia sepupu,” jelas Hajah Bie. Adibah pandang saja wajah lelaki yang memakai baju warna hijau muda itu.
            “Dib, kenalkan ini cucu nenek yang sulung Khairil.”
            Mereka saling berpandangan sekejap. Kemudian Kharil bertanya,“ Nenek  masak apa hari ni?”  Sekaligus mematikan pandangan keduanya.
            “Masakan kegemaran abang.”
            “Hmm… Sambal sotong?’
            “Ya, nenek tak lupa walaupun dah lama abang tak datang rumah nenek ni. Maklumlah, orang dah ada rumah sendiri. Manalah nak ingat nenek lagi.”
            “Alaa..bukan abang lupa nenek. Abang betul sibuk ni. Ini pun kebetulan lalu sini.” Kharil peluk Hajah Bie.
            “Emm, kenapa abang dah kurus ni?”
            “Makan tak sedap nek.”
            “Kalau macam tu kahwinlah cepat.”
            “Memang abang nak kahwin. Kalau ikuatkan kejap ini abang nak kahwin, tapi tak ada orang nak kahwin dengan abang.”
            “Tak ada orang yang nak abang?”
            Kharil gelak. Kemudian dia garu kening. “Yang nak kat abang tu ramai, tapi abang tak nak pulak kat mereka.”
            “Tu le pasalnya.” Hajah Bie sambung masak dan Adibah sambung tolong apa yang patut. Khairil duduk di kerusi makan sambil perhatikan Adibah yang mengacau bawang dalam kuali. Hmm, sepupu dua kali? Tak pernah tengok di mana-mana pun. Sepupu dua kali saja. Sedang yang betul-betul sepupu juga payah nak berjumpa, inikan pulak sepupu yang berkali-kali.
            Hajah Bie masukkan cili kering yang ditumbuk bersama belacan ke dalam kuali. Baunya bangkit. Terbesin Adibah jadinya. Dua kali dia bersin. Sudahnya Adibah lari ke ruang tamu. Tak tahan. Khairil ekori Adibah dengan pandangan.
            “Nek, budak tu okey?” soal Khairil.
            “Buat teman bolehlah.”
            “Memang tak bekerja ke?”
            “Emm, budak dah biasa makan tidur, mana nak kerja.”
            “Uiks, senangnya hidup.”
            “Tapi rajin jugak tolong nenek masak. Kira okeylah tu.”
            Kharil kembali pusing gelas yang berisi bunga dua kuntum bunga carnation yang menjadi penyeri meja sebaik sahaja Adibah muncul semula. Sekali lagi Adibah bersin.
            “Hmm, nampak benor tak rajin ke dapur.” Kharil senyum nakal. Saja mahu mengusik sepupu dua kalinya itu. Pangkat-pangkat adik.
Riak wajah Adibah tidak berubah tapi perasaannya malu campur geram.
“Abang, jangan nak usik Dib. Karang Dib balik, nenek paksa abang tinggal dengan nenek.”
“Salah ke abang nak usik adik abang?” Kharil senyum lagi, tambah nakal bila melihat wajah Adibah tenang tak beriak. Comel jugak budaknya.
“Sudah-sudah. Jangan nak menyakat saja kerjanya. Abang tunggu aje kat luar dulu. Nenek nak masak. Melayan abang tu, karang lambat pulak nenek masak.”
Kharil bangun. Terus atur langkah. Beberapa tapak, dia menoleh sekilas dan nampak Adibah bersin sekali lagi.
Betul, memang comel. Mata Khairil tak tipu.
Khairil ke bilik. Dah lama tak jengah bilik. Hampir 3 bulan lepas duduk rasmi rumah baru, jarang Khairil singgah rumah Hajah Bie.
Tergamam Khairil melihat biliknya. Sudah berubah habis. Ada poster besar Van Diesel lagi. Hmm, sama minat dengan aku rupanya budak ni. Khairil tarik nafas. Hmm, terasa ada bau gadis dalam biliknya. Rasa sangat lain.
Khairil lambung badan atas katil. Ah! Rindu pada katil yang lama ditinggalkan. Emm, rasa lain macam.
“Abang, dah siap. Jom makan.”  Sayup suara Hajah Bie memanggil.
Khairil bangun. Sebelum tu dia berdiri mengadap muka Van Diesel. Fast and Furious 5, mungkinkah?
ATAS meja sudah terhidang makanan tengahari. Ada asam pedas ikan tongkol, sambal sotong, telur dadar.
            “Hmm, ini abang sayang nenek. Semua lauk kegemaran abang ada.” Kharil senduk nasi. Mata pandang Adibah yang sedang bancuh air oren. Masa Adibah bawa jug, Khairil baca doa makan.
            Adibah tumpang aminkan sebaik sahaja duduk. Kemudian senduk nasi. Lapar.
            “Hmm, masakan nenek memang kelas. Umi pun tak masak macam ni.” Khairil mulakan acara memuji. “Kalau Dib nak pandai masak, belajar dengan nenek. Nanti senang.”
            Kali ini Adibah rasa pujian Khairil bertepatan. Memang sedap. “Nak ke nenek ajar Dib. Dib ni bebal sikit.”
            “Hisy, kenapa cakap macam tu. Nenek main campak saja ni.”
            “Betulkan Dib. Sedap gila.” Puji Khairil lagi.
            “Emm, memang,” balas Adibah.
            “Hmm, kata umi kamu dah nak pindah. Jadi ke?”
            “Hujung tahun. Abah dah pencen.” Laju Khairil kunyah nasi.Adibah juga sama, jadi perbualan antara Kharil dan Hajah Bie didengar sekali lalu.
Meja makan jadi sepi seketika.
“Nek, banyak betul sotong kering bergayutan dalam bilik abang. Rasanya bukan nenek punya sebab ni jenis sotong kering yang comel-comel.” Selepas sepi berlalu beberpa ketika, Khairil spontan bercakap.
            Rasa Adibah seperti darahnya sudah kering. Lelaki itu sebut sotong kering dalam bilik? Cepat Adibah toleh pandang Khairil. Masa itulah dia perasan Khairil sudah tersenyum sinis sambil senduk asam pedas.  
            “Nenek lupa nak bagitau. Nenek suruh Dib tinggal dalam bilik abang sementara Dib temankan nenek.”
            “Hmm, padan pun.”  Lagi senyum sinis Khairil terukir galak.
            Adibah tambah tak terkata. Asam pedas yang asalnya sedap tidak terkata, jadi rasa asam pedas semalam yang sudah hampir-hampir basi. Tidak sedap semuanya. 

SAYA RINDU AWAK Bab 1


“Sekejap aje, Bukan lama mana pun. Tak sampai 2 bulan, sementara mereka nak dapat pengganti pekerja lama.”
            “Lecehlah mak nak jaga orang tua ni. Baik jaga baby terus.”
            “Lagipun bukan orang lain. Tok saudara Dib jugak.”
            “Malaslah mak.”
            “Susahnya nak minta tolong dengan Dib. Banyak betul alasannya. Kalau mak boleh jaga, memang dah lama mak jaga. Tapi kalau mak pergi jaga, siapa nak uruskan rumah ni? Nak Harapkan Dib? Pakai tak berasap dapur tu.”
            Puan Murni tayang muka merajuk. “Tak nak tolong sudahlah!” ugut Puan Murni.
            Nak tak nak Adibah terpaksa akur juga. Takut emaknya merajuk lebih-lebih. Memang tak berasaplah dapur jawabnya.

ADIBAH pandang saja wajah wanita yang menyambutnya dengan ramah tadi. Waktu mula-mula dia dipaksa oleh Puan Murni menjaga seorang tua, gambaran pertama yang terlintas di kepala Adibah ialah seorang nenek yang lumpuh, yang tidak boleh bergerak dan terpaksa memakai lampin pakai buang. Ternyata semuanya salah.
            Bergaya betul orang tua ni, mengalahkan mak datin. Rambut pendek ala-ala mendiang Lady Diana dan diwarnakan dengan inai. Berseluar panjang dan baju tangan panjang warna biji remia. Fuh! Kalah aku.
            “Hmm, dah lama nenek tak jumpa Dib. Dah besar rupanya. Cantik!” 
            Adibah sekadar tersenyum. Cantik? Hmm, kes bodeklah tu. Mentang-mentang 2 bulan ni nak kena jaga dia.
            “Masih tak dapat kerja yang sesuai?”
            Ambil masa juga untuk Adibah jawab. Memang beberapa bulan ini dia sekadar tanam anggur saja. Bukan tiada kerja yang sesuai, tetapi semuanya ala-ala tak kena dengan jiwa.
            “Belum nek,” jawab Adibah tenang.
            “Tak mengapalah. Sementara tu temankan nenek.”
            Mata Adibah meliar. Kediaman semi D yang terletak di Bandar Puchong Perdana itu kelihatan agak mewah.
            “Nenek memang tinggal sorang-sorang?” Soalan bodoh yang Adibah ajukan sejak mula dia ditawarkan dengan tugas tersebut dan Puan Murni sudah beri jawapan selengkap-lengkapnya tetapi Adibah mahu tanya juga sebab mana tahu soalan itu bakal menaikkan kemarahan Hajah Bie. Target Adibah sekarang ini ialah menaikkan kemarahan Hajah Bie dan kalau Hajah Bie berjaya halau Adibah, kira itu satu pencapaian yang bagus.
            Adibah tak akan berputus asa. Janji buat dengan baik.
            “Emm, sekarang ni mana anak-anak nak duduk dengan orang tua. Kalau umur Dib panjang, ada anak, ada cucu, nanti Dib tahulah  macam mana rasanya.”
            Ah! Dia yang mahu kenakan nenek tua itu, kenapa dia pulak harus sayu hati?  Keraskan hati Adibah. Ini bukan drama air mata. Lagipun dia bukan nenek betul-betul. Nenek saudara saja. Mak saudara kepada Puan Murni.
            “Emm, jom nenek tunjukkan bilik Dib.”
            Bukan Adibah yang bawa beg pakaian sebaliknya Hajah Bie. Tidak tahulah siapa yang menjaga siapa. Tapi lagaknya seperti Adibah pula yang jadi mem besar.
            Adibah temenung sekejap sebaik saja menjengah bilik. Ini bilik untuk orang gaji? Bilik orang gaji ada poster Arsenal sebesar-sebesarnya? Orang gaji dari mana pulak yang diambil? Tak kan dari Arsenak kut.
            “Ini bilik cucu nenek. Dulu dia tinggal dengan nenek. Sekarang ni dah ada rumah sendiri, tak naklah tinggal dengan nenek.”
            Begitu al-kisahnya. Padanlah rupa bilik orang jantan saja. Tapi best, ada home teater, ada tv plasma dan yang penting ada net bola keranjang. Gila Adibah macam ni. Semua yang dia nak ada dalam bilik ni. Hati Adibah sudah diagah sawan gembira. Mau dia tak sawan kalau benda yang dia idam-idam ada depan mata.
            “Sementara Dib, tinggal dengan nenek, Dib buatlah bilik ni macam bilik sendiri.”
            Okey, cantik! Tak cakap pun Adibah akan buat macam tu. Jangan bimbang, Adibah akan buat macam bilik sendiri, tengoklah nanti.
            “Terima kasih nek.” Adibah tak lepas pandang bilik yang agak luas itu namun nampak sempit bila berserabut dengan banyak barang.
            “Dib rehat-rehatlah dulu. Nanti nenek siapkan makanan tengahari.”
            “Hah? Kenapa nenek yang masak? Bukan ke Dib yang kena masak?”
            “Hisy!  Mana pulak Dib kena masak. Kerja Dib cuma temankan nenek saja.”
            “Oh, gitu ke? Ada dalam surat penjanjian?” Bulat mata Adibah ketika menyebut surat perjanjian. Sejak selalu saja terkena, Adibah lebih percayakan surat perjanjian dari cakap-cakap orang. Kalau boleh dia mahu ada hitam putih.
            Hajah Bie tergelak. Hmm, tak ubah perangai abang. Sikit-sikit surat perjanjian. “Tak adalah sampai buat surat perjanjian. Tapi nenek dah cakap dengan mak Dib, minta Dib temankan nenek saja.”
            Ah! Kalau begini jangan kata 2 bulan, 2 tahun pun Adibah sanggup.

Sunday 18 March 2012

SAYA RINDU AWAK- PROLOG


Ciri-ciri suami idaman Adibah Anis Sofea.
1-      Pandai masak.
2-      Pandai kemas rumah
3-      Pandai cuci bilik mandi/ toilet.
4-      Pandai pergi pasar.
5-      Pandai tukar langsir.
6-      Pandai buang sampah.
7-      Pandai layan Adibah Hanim.
8-      Pandai pujuk Adibah Hanim.
9-      Pandai urut Adibah Hanim.
10-   Kesemua di atas.
P/S MESTI PANDAI SOLAT.