PAK
LONG tarik tali pinggang dengan wajah yang marah. Sejurus selepas itu satu
libasan mengena badan Zahra.
“Ampun papa, ampunkan Zahra.” Zahra
merayu.
“Kau cakap siapa jantan tu?” jerit
pak long kuat. Sekali lagi badan Zahra mendapat libasan. Mengelupur Zahra di
situ. Aku tahu Zahra benar-benar sakit kali ini. Cara dia mengelupur juga aku
tahu bukan sekecil-kecil sakit yang dia tanggung.
“Sudahlah tu bang.” Mak long tarik
tangan pak long. Cuba menyabarkan pak long yang seperti orang kerasukkan hantu.
“Kau beritahu aku siapa jantan tu?”
jerit pak long lagi. Bergema suara pak long di seluruh rumah.
“Kawan Zahra satu kolej,” jawab
Zahra bersama tangisan.
“Zahra bawa papa jumpa jantan tu
sekarang jugak.”
“Dia dah berhenti papa. Dia dah larikan
diri. Zahra tak dapat kesan dia di mana berada sekarang ni.”
Aku pandang tepat wajah Zahra.
Kenapa dia menipu? Bukankah Joe masih lagi menuntut di kolej yang kami belajar.
Baru semalam aku terpandang Joe di kafeteria. Apa yang cuba Zahra sembunyikan?
Sekali lagi badan Zahra mendapat
libasan. Seperti tadi, Zahra menggelupur semula. “Papa, ampun Zahra.”Akhirnya
Zahra peluk erat kaki pak long.
“Sudahlah tu bang, kita nak buat
macam mana lagi. Benda ni dah jadi.”
“Dah berapa bulan kandungan Zahra?” soal
pak long garang.
“Masuk tiga bulan papa.”
“Tiga bulan?” Tanpa teragak-agak pak
long libas lagi badan Zahra. Inilah julung-julung kalinya pak long melibas
Zahra dengan begitu teruk. Selama ini anak kesayangan itu jangan kata hendak
kena libas, kena jentik pun payah.
Aku? setiap kali Zahra buat hal aku
yang dapat habuan. Semua kesalahan tertunding ke arahku namun kali ini, mak
long tidak boleh hendak menyalahkan aku lagi kerana yang bunting sekarang ini
bukan aku, tetapi anak kesayangan mak long.
“Sudahlah tu bang, benda ni dah
jadi. Sekarang ni kita kena kena fikirkan cara untuk selesaikan masalah ni.
Abang pukul Zahra macam mana pun, tidak akan mengubah apa-apa.” Pak long
tersandar selepas itu di sofa. Zahra masih lagi menangis. Mak long menemani pak
long.
“Gugurkan kandungan tu,” arah pak
long.
“Abang, kandungan Zahra dah tiga
bulan lebih, mana boleh kita gugurkan. Kalau berlaku kepada Zahra nanti macam
mana?”
“Habis awak nak biarkan Zahra
mengandung? Awak nak malukan saya? Awak tahu bukan keluarga saya macam mana.” Suara
pak long masih kuat.
Mak long terus pandang aku. Semacam
saja mak long pandang. Sejak mak long tahu Zahra mengandung, aku lihat mak long
seperti sentiasa berfikir. Mungkinkah kali ini mak long bakal berjaya menghalau
aku keluar dari sini? Apakah bebanan yang mak long ungkit saban hari ini bakal
disingkirkan?
Aku tarik nafas. Menantikan
rancangan selanjutnya daripada mak long.
“Saya nak Teya balas budi kita
selama kita pelihara dia.” Tiba-tiba mak long bersuara. Aku tenang dan cuba
memahami kata-kata mak long walaupun mak long sudah menggunakan bahasa
mengungkit.
Pak long pandang mak long dan aku
pandang keduanya. “Saya nak Teya tanggung semuanya sebagai balasan kita jaga
dia selama ini.”
Aku tambah tidak faham. Kata-kata
mak long makin mengelirukan. Aku kena tanggung semuanya? Tanggung apa?
“Teya yang kena jaga anak tu.”
“Saya tak faham apa maksud mak long.” Aku tanya. Mustahil pula mak long
ada kuasa memindahkan kandungan Zahra ke dalam rahimku. Memang mustahil.
“Aku nak semua orang sangka kau yang
mengandung,” jelas mak long. Namun penjelasan mak long buat aku tambah tidak
faham.
“Apa yang awak merepek ni, Maznah?”
soal pak long. Kalau pak long juga fikir mak long sedang merepek, apatah lagi
aku. Aku lagilah tidak faham apa maksud sebenar mak long.
“Sebagai membalas jasa kita bela dia
dari kecik, saya nak Teya yang mengandung. Biar semua ahli keluarga yang lain
anggap anak tu anak Teya.”
“Awak dah gila ke? Setan mana yang
rasuk awak suruh fikir cara bodoh tu?”
“Saya tak bodoh bang. Kita takada
pilihan lain. Abang tahu tak risiko gugurkan anak? Berkemungkinan besar Zahra
tak boleh mengandung lagi. Abang nak anak kita tanggung risiko tu,” soal mak
long.
“Tapi macam mana? Yang mengandung tu anak kita.
Bukannya Teya. Macam mana awak nak sorok perut anak awak tu?”
“Abang jangan bimbang, saya tahu apa
yang saya nak buat.”
Aku betul-betul tak sangka cetek
benar fikiran mak long sehingga boleh
terfikirkan cara bodoh begitu. Tetapi aku sedar juga, semua rancangan mak long
itu tetap akan melibatkan aku sama dan akibatnya tentulah berpihak kepadaku.
Ah! Makin risau aku jadinya.
ape jd kt teya nti..
ReplyDeletemak long paksa teya 'mengandung'
ReplyDeletecepatlah sambung nak tahu macam mana boleh pindah ke
ReplyDelete