“Joe,
kau tak boleh macam ni. Kau tak boleh lepas tangan macam tu saja. Zahra sudah
mengandungkan anak kau. Kau kena bertanggungjawab.”
“Kau yakin tu anak aku? Bukan kau
tak kenal siapa sepupu kau tu. Gadis liar.”
“Memang dia gadis liar. Tapi seliar
dia, dia tak pernah serahkan tubuh badan dia kepada lelaki lain. Lagipun hanya
kau seorang saja yang Zahra cinta.”
“Aku tak percaya Teya. Aku tak akan
percaya sama sekali. Masa aku dapatkan dia, dia bukan anak dara lagi. Jadi kau
nak aku percaya dia kandungkan anak aku.”
“Joe, kau tak boleh macam ni. Kau
harus percayakan cakap Zahra.”
“Kau dengar sini Teya. Aku dah masak
dengan perempuan macam Zahra tu. Perempuan macam tu hanya mahu mengikis duit
aku saja. Dia tahu aku banyak duit, jadi dia ugut aku dengan cara ni. Eh, aku
tak akan mengakulah!” Joe bangun.
“Joe, tolonglah. Aku merayu
sangat-sangat. Tak kan kau nak biarkan dia macam tu.” Aku pegang tangan Joe.
Kali ini aku benar-benar merayu. Kalau Joe tidak mahu bertanggungjawab, aku
terpaksa memikul semuanya selepas ini. Aku yang bakal menjadi mangsa.
Air mataku jatuh ke pipi. Sudah
tidak terbayang nanti aku bakal dituduh melahirkan anak luar nikah oleh saudara
mara lain. Tentu penghinaan yang bakal aku terima bertambah-tambah lagi.
Joe tolak tanganku kasar. “Kau faham
bahasa tak? Aku tak akan bertanggunjawab sama sekali. Kau kena faham tu!” Joe
menjerit.
“Joe, kenapa jerit-jerit ni?”
seorang lelaki menegur.
“Eh! Abang, kenapa abang datang
sini?” Wajah Joe bertukar pucat. Dia seperti takut-takut selepas itu. Aku tutup
mulutku, namun air mata masih berjuraian. Sudah tidak boleh mengawal perasaan
sendiri.
“Abang nak jumpa kawan abang yang
jadi pensyarah kat sini. Kebetulan lalu di sini. Apa hal jerit-jerit ni? Tak
malu?” soal lelaki yang masih memakai tali leher.
“Err, tak ada apa-apa,” teragak Joe
jawab.
Lelaki yang menggelarkan dirinya
abang itu pandang tepat ke arahku. Cepat-cepat aku sapu air mata. “Kalau tidak
ada apa-apa, kenapa bertempik di tengah khalayak ramai ni?” Lelaki itu tanya
Joe, tapi matanya pandang aku.
“Err, ada masalah sikit. Tak ada
apa-apalah. Dah selesai.” Joe ajak lelaki tersebut tinggalkan aku. mungkin
tidak mahu rahsianya diketauhi oleh sesiapa. Aku hanya perhatikan langkah
keduanya dengan pandangan berkaca. Sekali lagi air mataku tumpah.