ADIBAH
tolong potong bawang. Baru dua biji, air mata berjuraian. Tak tahan. Hari ini
jatuh hari keempat dia di rumah Hajah Bie. So far so good. Adibah enjoy dan rasa
bebas. Tak ada siapa-siapa nak marah dia bangun lambat atau nak tengok tv 24
jam.
Hajah Bie siang ikan di sinki. Ikan
tongkol. Nak masak asam pedas. Setakat ini masakan Hajah Bie sentiasa kena
dengan tekak Adibah terutama sambal ayam. Perggh! Kelas. Kalau datang dulu
berat badan Adibah baru 47kg balik nanti mahu 57kg. Sudahlah kerjanya makan
tidur saja.
Lepas potong bawang Adibah ambil
periok nasi. Memang kerja Adibah masak nasi sebab selepas potong bawang Adibah
hanya pandai masak nasi saja.
“Dib tambah dua pot lagi ya,” kata
Hajah Bie.
“Amboi nek, ni perli Dib ke?
Mentang-mentang Dib kuat makan,” kata Adibah. Menipu sangatlah dia tidak
terasa. Selalu tiga pot saja. Hari ni tambah lagi dua pot. Nampak benor kuat
makan dia. Kalau satu pot tu, masih boleh diampunkan.
“Apa perli pulak. Hari ni tambah
lagi seorang makan dengan kita,” balas Hajah Bie.
Oh, kisahnya. Adibah tidak soal
lagi. Terus saja masukkan lima pot beras. Siapa yang bakal tumpang makan dengan
mereka tidak menjadi soal. Dia ke sinki. Basuh beras dan sambil pandang Hajah
Bie potong ikan.
“Air beras tu tuang atas ikan,” arah
Hajah Bie waktu Adibah mahu buang air basuhan beras. “Untuk hilangkan hanyir
ikan,” jelas Hajah Bie.
Kisahnya. Ah! Banyak betul kisahnya.
Sejak tinggal dengan Hajah Bie ini, macam-macam yang Adibah tahu.
Lepas tekan suis periok nasi, Adibah
berdiri bersebelahan Hajah Bie yang sudah mula tumbuk cili. Leka Adibah
perhatikan kerja Hajah Bie yang sangat tertib. Kalau Adibah mahu runtuh kabinet
tu.
“Nek, hari ni tak ada sambal ayam?”
soal Adibah bila melihat tiada ayam dikeluarkan dari peti sejuk.
“Semalam dah sambal ayam. Hari ni sambal
sotong pulak ya,” kata Hajah Bie. Adibah sudah tangkap kecewa. Sambal ayam
dikecualikan hari ini. Tak apalah. Makan sambal sotong pula.
Sedang Adibah pujuk perasaan,loceng
pintu berbunyi.
“Abang datang tu. Pergi pakai
tudung,” arah Hajah Bie.
Abang? Tapi cepat Adibah buka
langkah pergi bilik, Kemudian sarung tudung warna coklat yang tersedia atas
katil. Waktu dia keluar dari bilik seorang lelaki sedang berbual dengan Hajah
Bie.
“Dia ni bukan orang lain dengan
abang. Sepupu dua kali. Mak abang dengan mak dia sepupu,” jelas Hajah Bie.
Adibah pandang saja wajah lelaki yang memakai baju warna hijau muda itu.
“Dib, kenalkan ini cucu nenek yang
sulung Khairil.”
Mereka saling berpandangan sekejap.
Kemudian Kharil bertanya,“ Nenek masak
apa hari ni?” Sekaligus mematikan
pandangan keduanya.
“Masakan kegemaran abang.”
“Hmm… Sambal sotong?’
“Ya, nenek tak lupa walaupun dah
lama abang tak datang rumah nenek ni. Maklumlah, orang dah ada rumah sendiri.
Manalah nak ingat nenek lagi.”
“Alaa..bukan abang lupa nenek. Abang
betul sibuk ni. Ini pun kebetulan lalu sini.” Kharil peluk Hajah Bie.
“Emm, kenapa abang dah kurus ni?”
“Makan tak sedap nek.”
“Kalau macam tu kahwinlah cepat.”
“Memang abang nak kahwin. Kalau
ikuatkan kejap ini abang nak kahwin, tapi tak ada orang nak kahwin dengan
abang.”
“Tak ada orang yang nak abang?”
Kharil gelak. Kemudian dia garu
kening. “Yang nak kat abang tu ramai, tapi abang tak nak pulak kat mereka.”
“Tu le pasalnya.” Hajah Bie sambung
masak dan Adibah sambung tolong apa yang patut. Khairil duduk di kerusi makan
sambil perhatikan Adibah yang mengacau bawang dalam kuali. Hmm, sepupu dua
kali? Tak pernah tengok di mana-mana pun. Sepupu dua kali saja. Sedang yang
betul-betul sepupu juga payah nak berjumpa, inikan pulak sepupu yang
berkali-kali.
Hajah Bie masukkan cili kering yang
ditumbuk bersama belacan ke dalam kuali. Baunya bangkit. Terbesin Adibah
jadinya. Dua kali dia bersin. Sudahnya Adibah lari ke ruang tamu. Tak tahan.
Khairil ekori Adibah dengan pandangan.
“Nek, budak tu okey?” soal Khairil.
“Buat teman bolehlah.”
“Memang tak bekerja ke?”
“Emm, budak dah biasa makan tidur,
mana nak kerja.”
“Uiks, senangnya hidup.”
“Tapi rajin jugak tolong nenek
masak. Kira okeylah tu.”
Kharil kembali pusing gelas yang
berisi bunga dua kuntum bunga carnation yang menjadi penyeri meja sebaik sahaja
Adibah muncul semula. Sekali lagi Adibah bersin.
“Hmm, nampak benor tak rajin ke
dapur.” Kharil senyum nakal. Saja mahu mengusik sepupu dua kalinya itu.
Pangkat-pangkat adik.
Riak
wajah Adibah tidak berubah tapi perasaannya malu campur geram.
“Abang,
jangan nak usik Dib. Karang Dib balik, nenek paksa abang tinggal dengan nenek.”
“Salah
ke abang nak usik adik abang?” Kharil senyum lagi, tambah nakal bila melihat wajah
Adibah tenang tak beriak. Comel jugak budaknya.
“Sudah-sudah.
Jangan nak menyakat saja kerjanya. Abang tunggu aje kat luar dulu. Nenek nak
masak. Melayan abang tu, karang lambat pulak nenek masak.”
Kharil
bangun. Terus atur langkah. Beberapa tapak, dia menoleh sekilas dan nampak
Adibah bersin sekali lagi.
Betul,
memang comel. Mata Khairil tak tipu.
Khairil
ke bilik. Dah lama tak jengah bilik. Hampir 3 bulan lepas duduk rasmi rumah
baru, jarang Khairil singgah rumah Hajah Bie.
Tergamam
Khairil melihat biliknya. Sudah berubah habis. Ada poster besar Van Diesel
lagi. Hmm, sama minat dengan aku rupanya budak ni. Khairil tarik nafas. Hmm,
terasa ada bau gadis dalam biliknya. Rasa sangat lain.
Khairil
lambung badan atas katil. Ah! Rindu pada katil yang lama ditinggalkan. Emm,
rasa lain macam.
“Abang,
dah siap. Jom makan.” Sayup suara Hajah
Bie memanggil.
Khairil
bangun. Sebelum tu dia berdiri mengadap muka Van Diesel. Fast and Furious 5,
mungkinkah?
ATAS
meja sudah terhidang makanan tengahari. Ada asam pedas ikan tongkol, sambal
sotong, telur dadar.
“Hmm, ini abang sayang nenek. Semua lauk
kegemaran abang ada.” Kharil senduk nasi. Mata pandang Adibah yang sedang
bancuh air oren. Masa Adibah bawa jug, Khairil baca doa makan.
Adibah tumpang aminkan sebaik sahaja
duduk. Kemudian senduk nasi. Lapar.
“Hmm, masakan nenek memang kelas.
Umi pun tak masak macam ni.” Khairil mulakan acara memuji. “Kalau Dib nak
pandai masak, belajar dengan nenek. Nanti senang.”
Kali ini Adibah rasa pujian Khairil
bertepatan. Memang sedap. “Nak ke nenek ajar Dib. Dib ni bebal sikit.”
“Hisy, kenapa cakap macam tu. Nenek
main campak saja ni.”
“Betulkan Dib. Sedap gila.” Puji
Khairil lagi.
“Emm, memang,” balas Adibah.
“Hmm, kata umi kamu dah nak pindah.
Jadi ke?”
“Hujung tahun. Abah dah pencen.”
Laju Khairil kunyah nasi.Adibah juga sama, jadi perbualan antara Kharil dan
Hajah Bie didengar sekali lalu.
Meja
makan jadi sepi seketika.
“Nek,
banyak betul sotong kering bergayutan dalam bilik abang. Rasanya bukan nenek punya
sebab ni jenis sotong kering yang comel-comel.” Selepas sepi berlalu beberpa
ketika, Khairil spontan bercakap.
Rasa Adibah seperti darahnya sudah
kering. Lelaki itu sebut sotong kering dalam bilik? Cepat Adibah toleh pandang
Khairil. Masa itulah dia perasan Khairil sudah tersenyum sinis sambil senduk
asam pedas.
“Nenek lupa nak bagitau. Nenek suruh
Dib tinggal dalam bilik abang sementara Dib temankan nenek.”
“Hmm, padan pun.” Lagi senyum sinis Khairil terukir galak.
Adibah tambah tak terkata. Asam
pedas yang asalnya sedap tidak terkata, jadi rasa asam pedas semalam yang sudah
hampir-hampir basi. Tidak sedap semuanya.